Wednesday, December 7, 2016

Cinta Sepenuh Jiwa - 1

Dunia aku luas. Terketar-ketar kaki aku saat mahu meletakkan jejak melangkah keluar dari pintu penjara ini. Cahaya matahari menyinar terang. Aku guna tangan untuk melindungkan silau cahaya. Tadi, aku sudah sujud syukur dan solat sunat dhuha sebagai aktiviti terakhir aku dalam penjara ini. Biarlah ia menjadi satu titik permulaan hidup kedua aku yang penuh dengan berkah dari Allah SWT.
Seperti yang aku sedia maklum, tiada penyambut tetamu di depan pintu penjara ini. Siapa yang sudi menunggu dan memeluk aku. Aku hanya sebatang kara sahaja sekarang.
Tak apa, aku masih boleh senyum. Aku masih tahu jalan pulang biarpun sendiri. Aku pusing belakang sekali lagi. Memandang buat kali terakhir pintu penjara ini. Ada macam-macam rasa dalam hati aku.
Aku janji, inilah kali pertama dan kali terakhir aku 'bercuti' di sini. Terima kasih ya Allah atas nikmat ini. Aku yakin, Allah SWT sentiasa memberikan yang terbaik untuk aku. Seorang Jayyana Kalsum takkan sesekali bersangka buruk dengan takdir yang Allah sediakan.
Allah uji sesuai dengan kesanggupan.
Aku, bekas banduan. Ya!
Aku, bekas banduan yang takkan pernah mahu jauh dari rahmat dan kasih sayang Allah SWT.
Perjalanan tidaklah mengambil masa yang lama. Sedar-sedar aku sudah sampai ke daerah kelahiranku ini.
Aku pegunkan langkah betul-betul di depan anak tangga rumah kayu selapis ini. Nafas mengah dilepas dengan tenang. Beg pakaian ditangan diletakkan atas tanah, bersebelah dengan kakinya. Matanya dipasakkan pada rumah itu.
Mak... Ayah... Chom dah balik!
Tiada suara yang kedengaran. Aku hanya mampu berkata di dalam hati sahaja. Tiada yang menyambut kepulanganku. Hanya tanah sekangkang kera dan rumah yang masih dijagai elok ini sahaja menjadi penghias mataku.
Terbayang di ruangan mata ini wajah meraka yang aku rindukan. Tapi aku tahan air mata dari mengalir. Ini janji aku. Dan aku takkan mungkir janji pada mak dan ayah. Aku kena kuat. Sebab aku anak mak dan anak ayah.
Anak mak dan ayah, kuat. Dan, akan sentiasa kuat!
  Dengan lafaz bismillah, aku angkat semula beg. Anak tangga didaki satu persatu. Aku akan jaga rumah ini mak, ayah. Akh akan jaga sampai hujung nyawaku!
Aku melepaskan lelah di atas tangga. Sejak aku sampai ke rumah sehinggalah sekarang, nak masuk ke azan Zuhur yang tidak lama lagi akan berkumandang, aku giat membersihkan rumah ini.Sapu segala habuk. Pasangkan cadar tilam. Lap peralatan memasak segala. Memanglah nampak elok terjaga sebab Kak Atun yang tidak pernah culas melawatnya di penjara selalu membersihkan rumah ini sebulan sekali. Yelah, Kak Atun duduknya selang dua daerah. Bekerja sendiri pula. Jadinya, itu sahajalah yang termampu untuk dia lakukan.
Tak apalah, aku bersyukur. Sekurang-kurangnya, sepanjang aku 'bertapa' kat penjara ada yang sudi tengokkan rumah pusaka ini. Risau kalau terbiar dan dimakan anai-anai. Mungkin saja, rumah ini sudah rosak dan tinggal tapak sahaja.
Mujur juga air dan elektrik masih ada. Tidaklah tergagau-gagau aku sendiri. Terima kasih ya Allah atas nikmatMu ini.
Azan Zuhur berkumandang sayup-sayup. Mesti dari surau dekat tepi sawah sana. Perut aku pun berbunyi nyaring juga. Ralit sangat membersihkan rumah, aku pun terlupa untuk makan tengahari. Kemudian aku senyum sendiri. Apa yang mahu dimakan ya? Peti ais tentu-tentu sudah kosong. Nampak gayanya, aku kenalah keluar ke kedai untuk mencari apa-apa yang boleh mengenyangkan perutnya.
Kedai runcit Haji Seman tu, ada lagi ker tidak ya?
Usai mengerjakan solat zuhur, aku sarung tudung syria. Langkah dibawa menuju ke jalan besar. Harap-harapnya Kedai Runcit tu masih wujudlah. Kalau tidak, terpaksalah aku mencari ikhtiar lain untuk mencari rezeki makanan pada hari ini.
Payung yang masih elok, aku gunakan untuk memayungi tubuhnya daripada panas terik mentari. Cuaca sekarang panas betul. Cepat pula terasa dahaga. Semasa dekat penjara, tidaklah terasa sangat kepanasan ini sebab aktiviti luar terhad juga.
Dari jarak kira-kira 250 meter, aku sudah nampak Kedai Runcit itu. Wah, sudah dinaiktaraf menjadi supermarket. Agak besar daripada dahulu. Aku lajukan langkah. Dalam kepala sudah berangankan menu tengaharinya.
Gas memasak pun ada dekat rumah, bolehlah aku memasak. Kak Atun sudah sediakan kelengkapan untuk aku. Lega hati ini.
Aku sampai sahaja depan kedai, terus ditutup payung. Apa hal pula nak berpayung sampai ke dalam kedai, kan? Kemudian payung itu disandarkan dekat rak roti. Kaki melaju ke dalam kedai yang berpenghawa dingin. Berhenti sekejap tubuh kecil aku betul-betul dekat bawah alat penghawa dingin yang terpasang.
Arghh, leganya. Rasa macam duduk dalam freezer!
"Chom!"
Tersentak aku mendengar suara yang menyapa. Langsung mata dicelikkan. Liur ditelan dua tiga kali. "Astaga... Chom!"
Naik tiga oktaf suara itu. Sampaikan dua tiga orang pelanggan dalam kedai itu terkalih-kalih, tertinjau-tinjau dekat aku. "Haah, bila keluar penjara ni?" Sinis amat suara Mak Long Senah. Malah, terang-terang wajah tidak suka dekat aku ditayangkan.
"Tadi." Chom, sila bersabar! Itu pesan hati aku. Baiklah, Chom akan bersabar.
Mak Long Senah berlenggang menghampiri aku. Matanya tidak lepas dari memerhatikan tubuh aku. Atas bawah, bawah atas. Ada senyum nipis dekat bibir yang merah menyala itu. Manakala kedua-dua pergelangan tangan pula, ketat dengan urat-urat gelang emas. Mak Long Senah, ibu saudara tiri aku. Janda kaya yang sudah lima kali menjanda!
Aku hulur salam. Wajah dimaniskan. Mak Long Senah pandang tangan aku. Lama. Kemudian, dia sambut, Itupun, di hujung jari sahaja, buat syarat. Nak salam dengan bekas banduan? Nak peluk cium bekas banduan? Walau, anak saudara tiri sendiri?
Jijik!
Mungkin itu yang ada dalam fikirannya.
Aku malas nak ambil hati. Buruk-buruk pun, tetap kakak tiri almarhumah mak aku jugak. Ada juga darah aku yang sama DNA dengan perempuan itu.
"Kau balik dengan siapa?" Tanya Mak Long Senah, datar.
"Sorang je mak long."
"Hmmm..." Mak Long Senah kibas-kibas tangan. Panas, mungkin. Tapi, kan penghawa dingin terpasang. Celah mana datangnya panas tu? Oh, mungkin Mak Long nak tunjuk bling bling gelang emas, agaknya.
Dari muda sampai tua. Langsung tak berubah-ubah. Suka betul megah dengan barang kemas. Aku pandang sahaja tingkah Mak Long Senah. "Mak Long beli apa?"
"Beli barang, nak masak. Kamu tu dah keluar penjara, jangan nak dibuatnya perangai sampai masuk balik. Jaga nama baik mak dengan ayah kamu. Ingat sama, terseksa mereka dekat dalam kubur kalau kamu buat benda tak elok. Faham?"
Kuat suara Mak Long Senah. Rasanya satu kedai ni boleh dengar. Ada dua tiga orang pelanggan yang lain sudah berbisik-bisik sesama mereka. Aku lepaskan nafas.
"Kamu dengar tak?" Sekali lagi suara Mak Long Senah, melengking tinggi. Cepat sahaja aku angguk tanpa bertangguh. Agaknya kalau aku buat bodoh lagi, mahu peti suara Mak Long Senah tu pecah!
"Dah, nanti bila kamu free... datang rumah aku. Hai, duduk lama dalam penjara, takkan lupa kut, kan? Eh... jangan... jangan..." Mak Long Senah kalut. Aku belum sempat angguk, dia sambung ayat.
"Kamu tunggu je kat rumah mak ayah kamu tu. Nanti aku datang."
Aku angguk. Sekali lagi aku sua tangan. "Hmmm..." Mak Long Senah salam hujung jari. Aku senyum dalam hati. Mazhab baru kut, main sambut salam begitu agaknya!
Mak Long Senah jalan terus ke depan. Aku pula ke belakang. Kemudian, belumpun beberapa tapak, telinga aku terdengar.
"Itulah... anak si Sahak dengan Timah. Ala, yang bunuh abang dia tu. Baru keluar penjara tu." Suara Mak Long Senah berbisik sampai dia dengar! Hai hati, silalah bersabar.
"Oh yang itu ker?" Sok sek lagi beberapa orang 'geng' Mak Long Senah. Aku urut dada sendiri. Belum satu hari, sudah begini yang dia dengar. Mampukah aku untuk menjadi kuat mengharung hari-hari mendatang?
Sekalipun seisi kampung membenci aku, letakkan pengharapan pada Allah!
Chom kena kuat!

No comments:

Post a Comment