Wednesday, December 7, 2016

Cinta Sepenuh Jiwa - 3



Usai menziarahi kubur arwah mak, ayah dan abang sulungnya, kaki diatur melangkah menuju ke Pekan Sehari. Lamanya aku tidak berkunjung ke sana. Sejak aku dimasukkan ke penjara. Dulu-dulu, aku selalu menemani arwah maknya ke pekan sehari. Macam-macam dibeli. Paling aku suka adalah membelek anak-anak ayam atau anak itik yang dalam kurungan, dipamer untuk dijual.
Sangat comel, okey!
            Berpampasan dengan beberapa orang penduduk kampung, aku sekadar menghulurkan senyuman. Ada yang berbalas, dan ada juga yang menjuihkan bibir. Tak apalah, aku faham. Tak semua orang boleh menerima kehadiran seorang banduan dalam masyarakat. Stigma dan pemikiran masyarakat yang sebeginilah akan menghancurkan hidup manusia yang pernah bergelar banduan.
            Aku menarik nafas panjang. Mengurut dada sendiri dan beristighfar. Langkah disusun semula. Hari semakin meninggi. Aku perlu sampai ke pekan sehari yang berjarak setengah kilometer sebelum matahari betul-betul tegak di atas kepala.
            Aku berjalan tanpa melawan arus. Kedengaran deruan enjin kenderaan di belakangnya. Sengaja langkah dilambatkan. Di depan sana ada lopak air. Risau juga tersimbah dengan air hujan yang turun semalam memenuhi lopak itu.
            Pin!
            Kuat bunyi hon yang dibunyikan membuatkan aku hampir melompat. Kus semangat! Aku kalih. Kereta pacuan empat roda itu berhenti betul-betul di sebelahnya. Aku mengertap bibir, geram. Eh, suka-suka betul nak hon bagai. Kalau aku ada sakit jantung, macamana? Silap haribulan, mentee Pak Mail kena gali kubur tambahan pulak nanti!
            “Chom!”
            Aku terdiam. Terbang habis semua ayat seranah yang nak disumpahkan dekat si pemandu. Kelu lidah untuk membalas sapaan berunsur suka itu. Mataku tidak mampu untuk dikalihkan daripada terus menatap mata bening beralis lebat. Tubuhku jadi kaku. Hanya deru nafas sahaja yang menandakan aku masih lagi bernyawa.
            “Abang Umar…”
            Lelaki itu senyum lagi. Sama macam dulu, tak pernah tak manis!

Aku memandang mangkuk kecil berisi air batu campur yang disiram dengan air gula berwarna warni. Tampak menyelerakan. Namun, pemandangan di hadapan mata aku lagi ‘menyelerakan’.
Ah, gedik pula kau ya Chom!
            “Chom sihat?”
            Umar bersuara juga akhirnya. Mata dia juga tidak lepas memandang wajah aku di hadapannya ini. Selama ini aku simpan rindu terhadap Abang Umar jauh di dalam tempat yang sangat istimewa dalam hatiku. Akhirnya, hari ini rindu tertumpah pada orang yang selayaknya. Bertahun menunggu, sekalipun ada juga rasa yang tidak enak berkunjung ke dalam hati.
            “Alhamdulillah.” Aku senyum segaris. Abang Umar Raees, kekasih yang dipuja secara diam-diam. Rahsia hati aku seorang sahaja. Lama aku memendam perasaan. Malah sampai aku masuk ke penjara sana, tetap juga ia kekal sebagai rahsia. Mungkin sahaja sampai ke hujung nyawa seorang Jayyana Kalsum.
            “Maaflah, abang tak sempat nak melawat Chom dekat sana.” Abang Umar pula meluah rasa. Aku tahu, sekalipun dia rindu, sekalipun dia memang betul-betul jatuh cinta namun kata-kata uminya membuatkan dia tidak tegar untuk menjejakkan kaki ke penjara untuk bertemu muka dengan seorang Jayyana Kalsum.
            Antara aku dengan Abang Umar, uminya sudah meletakkan halangan yang besar. Dan dia sebagai satu-satunya anak lelaki, tidak tergamak untuk melukai hati ibu sendiri. Biarlah hatinya remuk redam, kerana syurga itu di bawah telapak kaki uminya.
            “Tak apa. Chom faham. Abang, kan dah jadi usahawan Berjaya. Lepas ni, bolehlah dapat anugerah jadi datuk-datuk ni,” Seloroh aku spontan. Yelah, penat nak kawal hati sendiri supaya jangan nak tunjuk kejung sangat. Nanti lelaki ini perasan pula.
            Umar Raees ketawa kecil. Apapun reaksi aku, yang pastinya aku nak dia tahu aku adalah Chom yang sama, dan tak pernah berubah!
            “Datuk-datuk tak mainlah. Abang nak title Tan Sri terus.”
            Kedua-duanya ketawa. Beberapa orang yang melalui di hadapan gerai menoleh juga kea rah kami. Ada yang mengangkat tangan kepada Umar Raees. Mestilah kenalan. Aku menundukkan muka. Segan. Yelah, terasa kerdilnya aku berada di sebelah lelaki ini.
            Kata kakak iparku Kak Atun, Umar Raees telah dinobatkan sebagai Tokoh Peladang Berjaya tahun ini peringkat negeri. Malah, hasil ternakan yang diusahakan juga telah mendapat pengiktirafan untuk dieksport ke luar Negara sebagai produk halal. Nampak tak, berapa kajang maruah lelaki ini jika nak dibandingkan dengan perkembangan aku.
            Umar Raees ni enggang.
            Jayyana Kalsum pula pipit.
            Kata pepatah, enggang dengan pipit masakan terbang bersama.
            “InshaAllah, mana tahu ada rezeki… Chom doakan untuk abang ya.”
            Umar senyum. Nafas dihela perlahan. Wajah aku dia tenung, lembut. Ada sesuatu yang rasanya mahu sahaja diluahkan kepada aku. Cara dia tenung tu, aduhai…
            “Lepas ni, dah boleh cari orang rumahlah kan.” Usik aku bersahaja. Namun, dada ini bagai mahu pecah menahan rasa. Bicara itu terbit tanpa dirancang.
            Umar, mulai tawar senyumannya.
            “Apa perancangan Chom lepas ni? Ada yang abang boleh Bantu? Jangan malu-malu tau. Abang ni nak sangat balas jasa Chom. Kalaulah tak sebabkan Chom yang Bantu abang, insafkan abang, agaknya ke pusat serentilah abang sekarang ni.”
            Abang Umar melepas keluh. Aku teringat lagi. Dulu dia bukanlah seperti sekarang. Dulu dia adalah anak muda yang tiada langsung masa untuk memikirkan hal masa depan. Hidupnya hanya mahu mengabiskan duit keluarga sahaja. Kena tangkap polis akibat jenayah kecil-kecilan itu adalah aktiviti hariannya. Mujurlah umi tu orang berpengaruh juga. Dapatlah dia diikat jamin. Dia dengan arwah abang sulung aku adalah rakan subahat.
            Aku jelah yang sentiasa menasihatkan dia dan abangku. Tak pernah jemu. Sekalipun, telinga mereka lali dengan kata-kata nasihat aku yang ketika itu masih bersekolah. Sampailah akhirnya dia kena tuduh merogol anak orang kampung. Dia kena anaiya dengan kawan yang lain.
            Masa itu, umi Abang Umar langsung tidak mahu mengaku dia sebagai anak. Alhamdulillah, hidayah Allah tercampak dalam hatinya. Dua minggu dia alam lokap, aku selalu datang. Bagi nasihat. Menceriakan hidupnya. Sampailah, kebenaran jelas menunjukkan yang dia tidak bersalah.
            Aku Nampak dia sujud syukur dia atas lantai lokap tatkala menerima khabar itu!
            Kata Abang Umar, semuanya kerana jasa Chom yang berdoa dan sentiasa berpihak padanya.
            “Chom tengah fikir lagi abang. Boleh minta kerja kat ladang tak?”
            Abang Umar Raees Nampak tersentak. Bibirnya mengoyak senyum lagi.“Boleh. Nak jawatan apa? Tukang jaga kambing, nak?”
            Aku gelak. Amboi, tukang jaga kambing ya.
            “Nantilah Chom fikir dulu. Buat masa sekarang Chom nak rehat dulu. Nak menikmati hidup kali kedua ini.” Balas aku dengan nada tenang. Abang Umar angguk.Kalau ikutkan hati memang aku nak minta kerja dengan dia, tapi memikirkan satu sebab membuatkan aku batalkan hasrat yang satu.
            Pipit dengan enggang, masakan terbang sama!     

No comments:

Post a Comment