Wednesday, December 7, 2016

Cinta Sepenuh Jiwa - 4



USAI solat maghrib, aku meluruskan badan. Terasa lenguh juga badan sementelah hari ini aku berjalan sahaja kerjanya. Melilau satu kampung. Rasa seronoknya. Nikmatnya berada dalam dunia yang bebas. Terkenang saat aku dalam penjara sana. Terperuk dengan rakan-rakan sepenjara yang menghuni dengan pelbagai jenis kesalahan.
            Nikmat Tuhan yang mana lagi perlu aku dustakan?
            Inilah hikmah Tuhan yang telah meminjamkan aku ke dalam penjara untuk beberapa ketika untuk belajar menghargai. Sungguh, kita tidak akan tahu untuk menghargai selagi kita tidak merasa kehilangan. Itu yang aku sedar semasa aku dalam penjara. Alhamdulillah, Allah masih sudi lagi untuk meminjamkan aku masa untuk merasai dunia yang bebas ini.
            Bak kata Ustazah Fatanah, kasih sayang Allah sentiasa mendahului kemurkaan Allah. Itulah yang sebenar-benarnya dan jarang sangat kita sebagai makhluk untuk memikirkan akan kebenaran sebaris ayat itu.
            Aku hela nafas panjang. Bibir menguntum senyum. Kemudian, tangan menarik laci yang terletak berdekatan dengan katil. Album lama aku keluarkan. Dengan kalimah basmallah, aku mula menyelak sehelai demi sehelai.
            Gambar seisi keluarga semasa majlis pernikahan arwah abang kandungku, Jiddan Syarifuddin. Lama mataku terhenti pada sekeping gambar arwah abang Jiddan yang segak berbaju pengantin. Ada air mata yang jatuh membasahi pipi, tanpa aku sedar.
            Abang long, Chom rindu!
            Aku pejamkan mata. Segala kenangan zaman aku kecil sehinggalah remaja mula tertayang dengan sendirinya dalam minda aku. Abang Long Jiddan, baik orangnya. Malah sangat-sangat baik. Harapan mak dan ayah. Abang Long yang juga sangat bijak dalam pelajaran malah selalu sahaja membanggakan mak dan ayah bila tibanya Hari Anugerah Cemerlang. Ada sahaja hadiah untuk dia.
            “Tak acilah… abang long dapat lagi hadiah.” Aku mencemik dan hampir mahu menangis bila melihat surat pemberitahuan di tangan Abang Long. Mak dan ayah sekadar senyum sahaja. Lalu, abang meraih aku dalam pelukannya.
            “Adik Chom kenalah usaha lebih. Mana tau, tahun depan kita sama-sama dapat naik pentas ambil hadiah.” Abang Long senyum.
            “Adik nak hadiah jugak.” Aku mula merengek.
            “Hadiah tu nanti adik punyalah.”
            “Yeayyy.” Aku bersorak senang. Teruja sebab dapat hadiah walaupun hadiah tu sebenarnya adalah atas usaha Abang Long. Aku peluk dia dengan gembiranya.
            Namun, Abang Long diuji dengan kawan-kawan. Dia tersilap memilih kawan. Semuanya bermula semasa Abang Long sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM, dia bekerja sementara di kebun kelapa sawit dekat kampung sebelah. Di sanalah dia terpengaruh dengan najis dadah. Sedikit demi sedikit Abang Long mula berubah sikap. Tiada lagi abang yang penyayang dan anak yang membanggakan mak dan ayah.
            Heboh bila abang kena tangkap kerana mencuri kambing ternakan orang kampung. Malu mak bila orang bercerita abang main judi dekat dalam kebun kelapa sawit. Sampailah ayah jatuh sakit kerana abang long mengasari ayah dek kerana ayah tidak mahu memberikan wang yang diminta.
            Luluh hati mak dan ayah.
            Aku ingat lagi setiap air mata mak dan ayah yang tumpah. Nak-nak bila abang long memutuskan tidak mahu menyambung pengajian setelah keputusan SPM diumumkan. Ayah memang ralat sangat sebab impian ayah untuk melihat abang Berjaya belajar hingga ke universiti.
            Kesian ayah dan mak.
            Bila mana abang membawa Kak Atun pulang ke rumah, mak dan ayah sangat terkejut. Yelah, tengah-tengah malam abang long bawa balik anak dara orang. Katanya mahu menikah jugak-jugak dengan Kak Atun. Mak dan ayah terdiam. Aku tidak mampu untuk bersuara sebab apa sahaja yang terbit dari mulutku pasti akan mencetuskan perang antara aku dan abang long.
            “Jiddan, kita buat cara elok. Nikah kawin ni kena ikut agama, ikut adat.” Usul mak dengan lembut. Abang long mula merengus.
            “Aku tak kira, aku nak kawin jugak. Susah sangat, aku nak bawak Atun kawin lari kat Siam!” Abang Long bersuara, keras.
            “Jiddan, kita hantar dulu Atun ni dekat mak bapak dia. Kemudian…”
            “Tak nak. Kami nak kawin!” Cantas Abang Long dengan suara meninggi. Ayah menggelengkan kepalanya. Mak juga sudah habis modal memujuk. Esoknya, pagi-pagi sebelum Subuh, Abang Long dengan Kak Atun hilang dari rumah!
            Zuhur hari esoknya, orang kampung datang khabarkan Abang Long kena tangkap basah dengan Kak Atun dekat hotel murah di pekan. Mak jatuh pengsan! Ayah tersandar dekat dinding. Akhirnya, majlis nikah kawin dijalankan juga seringkas mungkin demi menutup malu keluarga kedua belah pihak.
            Perangai Abang Long makin teruk setelah berkahwin. Mak dan ayah mengizinkan abang long suami isteri duduk serumah dengan kami. Lagipun, keluarga mentua abang long telah menyisihkan Kak Atun gara-gara perkahwinan yang tidak direstui ini. Bila Kak Atun disahkan mengandung, Abang Long termenung!
            Aku ingat lagi masa tu Abang Long mengamuk. “Bunuh anak tu! Aku tak nak anak tu!” Kesian Kak Atun. Aku perasan sejak kawin Kak Atun sudah berubah menjadi perempuan yang baik. Yang tidak pernah berubah adalah abang aku!
            “Atun takkan gugurkan!” keduanya saling bertengkar.
            “Abang long dah gila!” Jeritku bila aku Nampak abang long mahu memijak perut Kak Atun. Masa tu mak dan ayah tiada di rumah.
            Pang!
            Berdesing telingaku dengan tamparan kuat abang long. Berbekas lima jari pada pipi. Aku peluk Kak Atun yang sudah menangis gila-gila. Kesian dia.
            “Kau jangan masuk campur. Jahanam!” Abang long jerkah dengan muka marahnya. Kecut juga hati aku namun aku kena tolong Kak Atun sebelum anak yang tidak berdosa menjadi mangsa gila ayahnya sendiri.
            “Ini anak abang long. Kesian dia.” Aku lembutkan suara membujuk.
            “Aku tak nak anak! Semuanya menyusahkan!” Melangit tinggi suara abang long.
            “Taka pa, bagi Chom jaga ya kalau abang long tak nak.” Aku pujuk lagi. Dia mencerlung tajam matanya pada aku. Turun naik dada abang long kerana amarahnya yang tersisa. Kemudian dia meludah dan melangkah keras keluar dari rumah. Sempat dia terajang pintu depan sampaikan terkopak engselnya.
            Aku melepas nafas lega. Sejak itu abang long langsung tidak ambil peduli hal Kak Atun dan bayi dalam kandungan. Kesiannya mereka. Mujurlah mak dan ayah masih ada dan menerima Kak Atun dan anaknya. Dijaga macam anak kandung sendiri.
            Sehinggalah pada malam durjana itu. Abang long sekali lagi menggila. Kak Atun tengah sarat sangat waktu itu. Dia mahu menjual Kak Atun dekat seorang gangster gara-gara hutang berjudi. Tubuh Kak Atun perlu menjadi bayarannya.
            Aku yang sedang solat sudah mendengar riuh dekat ruang tamu. Hati mula tidak enak. Selesai solat, aku bergegas keluar dari bilik. Hanya ada Kak Atun dan aku sahaja di rumah. Mak dan ayah masih belum pulang dari surau.
            “Sekali sahaja. Kau kata kau sayang,kan aku. Tolong aku Atun.” Abang long merayu sambil menarik tangan isterinya.
            “Abang dah gila! Saya isteri abang. Tergamak abang nak menjual saya.” Kak Atun basah wajahnya dengan air mata. Aku tergamam. Abang long nak jual isterinya?
            Masa abang long mengheret Kak Atun, kaka ipar aku puas merayu supaya jangan buat dia begitu. Jatuh kasihan. Aku berlari mendapatkan Kak Atun. Memaut kaki abang long.
            “Jangan abang long. Mengucap abang…” Aku rayu dengan sehabis daya. Cuba untuk meleraikan cengkaman abang long dekat rambut isterinya.
            “Kau jangan masuk campur!” Abang long jerkah aku. Dengan kudratnya sebelah tangan, dia tolak aku hingga jatuh lantai. Sakitnya badan aku.
            “Tolong akak, Chom!” Kak Atun mengongoi kesakitan. Aku seka kasar air mata. Berlari ke dapur. Ternampak pisau di atas meja. Aku ambil dan berlari ke ruang depan. Jeritan Kak Atun menghibakan jiwa.
            “Lepaskan dia abang long!” Aku acukan pisau betul-betul depan muka abang long. Dia terkejut tapi tidak Nampak dia takut dengan gertakan aku. Bibirnya senyum sinis. Dicampakkan tubuh Kak Atun sehingga terhempas ke lantai. Kemudian abang long mendekati aku.
            Aku telan liur. Ternampak ada darah yang mengalir pada kaki Kak Atun. Allah, selamatkan kakak iparku. Tanpa sempat, pisau ditangan aku abang long rampas. Aku terkedu. Abang long buang pisau tu.
            “Aku jual kau pun boleh.”
            Allah, mengeletar lututku bila mendengar ayat yang terbit dari bibir abang long. Belum sempat aku nak lari, abang long sudah mencengkam tanganku. “Kau nak tolong kakak kesayangan kau, kan!”
            Sungguh, aku jadi takut masa ini.
            Hanya mampu mengingatkan Allah supaya membantu aku.
            Abang heret aku pula walaupun aku cuba untuk menahan tubuh dari bergerak. “Jangan abang long. Ni Chom… Ni Adik abang!” Aku pula yang merayu. Air mata berjejeran. Namun aku tahu takkan terkesan pada lelaki yang sudah dikuasai nafsu jahat ini.
            Allah. Allah. Allah.
            Abang lempang pipi aku. Terduduk aku. Sakitnya, tuhan sahaja yang tahu.
            “Ikut aku!” Suara abang long menggegarkan rumah.
            “Abang long…” tidak mampu lagi untuk aku bersuara. Abang long sudah menggunakan kekerasan pada tubuh aku. Dihempas ke lantai mengikut tangannya sahaja. Ditampar berulang-kali. Sampai aku jadi lembik.
            Penyudahnya, aku biarkan abang long mengheret tubuhku dengan tenaga yang telah tiada. Nafas yang tercungap-cungap menahan kesakitan pada badan. Sehinggalah aku terdengar raungan abang long.
            “Arghhhh!”
            Aku gagahi mencelikkan mata. Cengkaman tangan abang long merungkai. Pisau terpacak pada dada abang long dan Kak Atun sudah melonglai tubuhnya dengan mata yang tiada perasaan.
            Abang long terbeliak matanya. Jatuh dan sudah nyawa-nyawa ikan.
            “Kak Atun!”
            Azan insya mengejutkan aku. Celik mata. Hilang semua kenangan pahit itu. Allah, izinkan aku untuk tabah dalam setiap ujianMu. Aku tutup kembali album gambar itu. Mengesat air mata yang masih lagi mengalir.
            Mak, ayah dan abang.
            Semoga sentiasa dalam rahmat kasih sayangNya.  

No comments:

Post a Comment