Wednesday, December 7, 2016

Cinta Sepenuh Jiwa - 2

Awal-awal pagi lagi aku sudah bangun. Usai mengerjakan solat subuh dan membaca lembaran kitab suci Al Quran, aku sempat memasak nasi goreng. Sengaja nasi ditanak lebih malam semalam. Puas hati dapat sarapan hasil air tangan.
            Laman rumah sudah dibersihkan juga. Cadangnya mahu ke pekan sehari selepas menzirahi kubur arwah mak dan ayah nanti. Bolehlah aku berbelanja keperluan dia. Sempat juga aku berangan mahu mencantikkan laman. Kalau ada pasu bunga yang sudah berbunga sekuntum dua, elok juga dibeli buat penyeri.
            Aku cuma menapak sahaja ke tanah perkuburan tempat kedua arwah mak dan ayah dikebumikan. Malah arwah satu-satunya abang kandung aku juga di situ. Tanah perkuburan itu tidaklah jauh sangat pun. Aku berjalan ala santai sahaja. Tak perlu nak kejarkan apa pun.
            Sepanjang perjalanan, tenang sahaja hatiku. Inilah jalan yang dilalui sepanjang aku membesar. Mungkin di sini jugalah aku akan menghabiskan usianya. Sampai ke tua. Seorang diri.
Ah, sardisnya hidup seorang Jayyana Kalsum!
            Sudah! Fikir yang baik-baik. Kemudian doa yang baik-baik. InshaAllah, yang baik-baik juga akan didatangkan untuk kita. Itu pesan ustazah semasa aku dalam penjara. Jadi, aku kena ingat sampai bila-bila.
            Hidup sebagai banduan, bukanlah satu pilihan buat Jayyana Kalsum.
            Akhirnya aku sampai betul-betul depan tanah perkuburan ini. Kata Kak Atun, kubur arwah mak bersebelahan kubur arwah ayah. Di sebelah kubur ayah pula adalah kubur abang. Aku susun langkah dengan lafaz bismillah. Mataku melilau ke persekitaran tanah perkuburan yang agak sunyi itu.
            Yelah pagi-pagi lagi, siapalah yang nak ziarah kubur. Ingat-ingat lupa pula aku di mana letaknya kubur arwah ayah. Aku terhenti betul-betul di depan sebuah pondok kayu yang agak kukuh. Jari naik menggaru kepala.
            Itulah, makan nasi kawah lagi banyak-banyak. Semua pun boleh lupa. Aku tersengeh sendiri. Taka pa Chom, baca selawat. InshaAllah akan dipermudahkan. Niat yang baik, perkara yang baik, kena yakin. Teringat kembali kata-kata ustazah.
            “Assalamualaikum.” Terangkat bahu aku dek kerana salam yang diberi. Laju sahaja aku mengalihkan badan. Kus semangat. Ingatkan hantu kubur manalah tadi. Rupanya, Pak Mail. Aku menarik nafas lega. Separuh nyawa hampir terbang, tahu.
            Pak Mail sengeh pada aku. Wajahnya juga sudah berkedut di sana sini. Yelah, lama juga aku tak jumpa dengan Pak Mail. Arwah ayah, kalau hidup mungkin sebaya dengan Pak Mail
            “Pak Mail… sihat?” Aku bertanya seraya menghulur senyum. Ini kawan baik ayah. Melayani Pak mail baik-baik seumpama aku telah menjalankan tanggungjawab pada arwah ayah juga.
            “Alhamdulillah. Kamu?”
            Aku angguk. Pak Mail melabuhkan duduk di atas lantai pondok. Topi yang dipakai, ditanggalkan kemudian diletak atas ribaannya. Aku duduk bersebelahan Pak Mail.
            “Sihat, Pak Mail. Dok makan nasi kawah je… Gemuk dah ni.” Seloroh aku sambil mengukir senyum. Senang berbual dengan Pak Mail ini. Seumpama berborak dengan ayah sendiri. Oh rindunya aku dengan arwah ayah. Memandang Pak Mail, terus terlintas muka arwah ayahnya. Ada seiras pulak tu.
            Pak Mail gelak. “Maaflah, Pak Mail jarang jenguk kamu. Ada pun berkirim salam dengan Atun tu je. Maklumlah, dah tua-tua ni… Kaki pun tak berapa nak larat jalan jauh-jauh.”
            Aku angguk tanda faham. Salam dari Pak Mail memang Kak Atun selalu sampaikan. Aku pun tidaklah terasa hati. Aku faham akan keadaan Pak Mail. “Tak apa Pak Mail. Berehat sajalah Pak Mail kalau dah tak upaya nak cangkul tanah kubur.”
            “Habis, siapa pula nak mengali kubur tu kalau Pak Mail letak jawatannya? Haih… nak harapkan budak-budak muda … sekadar boleh tengok ajelah. Lalu tepi kubur, buah kelapa jatuh… merapak lari lintang pukang. Apatah lagi nak diharap menggali kubur. Nak-nak kalau tengah malam. Hai, pakai tak ada kuburlah. Kesian jenazah tu karang.”
            Giliran aku pula yang ketawa. Itulah, kerja menggali tanah kubur ini kerja mulia, membantu menyempurnakan fardu kifayah. Tapi, tak ramai yang sanggup. Jiwa kena kuat, raga kena bersemangat. Karang kena sergah, bertambah pula jenazah nak dikebumi.
            “Apa rancangan kamu, Chom?”
            Aku surut ketawanya. Mata menengadah ke langit yang kian cerah cantik. Nafas dihela perlahan. “Mungkin Chom nak bukak kedai makan. Lagipun dekat sana Chom ada juga belajar memasak sikit-sikit.”
            Pak Mail berkerut dahi sebaik mendengar cadangan pelan hidup aku. “Risiko jugak tu Chom kalau kamu nak bukak kedai makan. Yelah, kamu tahukan orang kampung ni. Lebih banyak yang buruk-buruk dalam fikiran mereka dari yang baik-baik. Pak Mail risau, teruk kamu kena nanti.”
            Termenung aku sekejap. Ada betulnya kata-kata Pak Mailnya itu. Aku ingat lagi cerita tentang gerai makan Makcik Anum yang kena bakar dulu gara-gara suaminya pernah masuk pusat serenti. Pemikiran orang kampung yang susah untuk menerima perubahan seseorang kea rah kebaikan. Apa yang mereka nampak hanyalah keburukan semata.
            “Eh, Pak Mail ada dengar kata Mak Engku nak pakai tukang masak. Kamu tak nak cuba?”
            Mak Engku? Aku terdiam memikir. Siapa pula Mak Engku ni?
            Tak lama kemudian Pak Mail gelak sendiri. “Kamu tak kenal kut Mak Engku tu. Masa dia pindah kampung ni, kamu baru masuk sana. Ala, kamu ingat tak… rumah besar cantik yang dekat tengah-tengah sawah tu.”
            Aku mengerah ingatan. Kemudian aku angguk. Seingatnya, memang ada sebuah rumah besar yang aku panggil istana. Dibina betul-betul di tengah sawah bendang. Selalu bila aku balik dari kelas tambahan, aku akan singgah dulu. Melangut melihat pekerja-pekerja Indonesia membuat kerja. Cekap dan pantas. Masa itulah aku pun berangan untuk membina sebuah rumah secantik itu untuk arwah mak. Dan, ia memang betul-betul hanya tinggal angan-angan sahaja.
            “Oh rumah besar tu ya?”
            Pak Mail angguk. “Kamu cubalah. Dulu kamu masa tunggu SPM kan pernah kerja hotel. Tambah ilmu masak yang kamu belajar tu, Pak Mail rasa baik kamu mohon.” Bersungguh Pak Mail memujuk aku supaya menawarkan khidmat sebagai tukang masak di situ.
            “Nantilah Chom fikirkan ya. Hmm… Chom nak pergi kubur mak, ayah dan abang.”
            “Tu hujung sana. Pak Mail selalu cabut rumput kat situ. Sembang-sembang dengan arwah ayah kamu. Haih, rindu dengan dia,” Lirih Pak Mail bersuara. Sungguh, lelaki ini nampak memang rindukan kawan baiknya itu.
            “Terima kasih Pak Mail tolong jagakan kubur mak, ayah dengan abang.” Ucap aku dengan sebak. InshaAllah selepas ini, aku pula akan menjaga sebaiknya kubur mak, ayah dan abang.
Itu janji Jayyan Kalsum!
            Aku bingkas bangun dan berdiri. Mata sempat menangkap susuk tubuh yang sedang terbongkok-bongkok mencangkul. “Siapa tu Pak Mail?” Soalku dengan kehairanan. Manusia betulkah atau bukan manusia?
            Pak Mail sengeh. “Mujurlah ada sorang yang boleh diharap walaupun bukan asalnya kampung kita. Itulah mentee Pak Mail.”
            Amboi Pak Mail, kerja penggali kubur pun siap ada mentor mentee. Kelas gitu!
            “Eiyad!” Pak Mail melaung. Lelaki muda dan bersusuk gaya ahli bina badan itu tegak memandang aku dan Pak Mail. Telan liur aku. Mak aih badan! Ahli bina badan mana sesat ni?
            “Kalau penat rehat dulu. Jenazah ada dekat hospital lagi.” Beritahu Pak Mail dekat lelaki itu. Tiada sahutan dan lelaki itu meneruskan kerjanya.
            “Ada orang meninggal ker Pak Mail?” Tanya aku sambil mata melirik pada lelaki tadi. Eiyad? Sumpah, aku tak pernah dengar nama itu. Betullah kata Pak Mail tadi, orang luar. Yelah, mungkin mahu berguru dengan Pak Mail yang tinggi ilmu dan banyak pengalaman dalam menjalankan tugas sebagai penggali kubur.
            “Ada. Ayah Johan. Kamu kenalkan Johan?”
            Aku angguk. Kenal gitu-gitu aje sebab satu sekolah rendah. Dah satu kampung, mestilah saling kenal mengenal juga.
Lama berborak, tak terasa panas makin membahang. “Chom nak tengok kubur dululah. Nanti nak ke pekan sehari pulak.” Aku mohon undur diri.
            “Yelah. Jalan elok-elok. Kalau ada masalah, bagitau Pak Mail ya.”
            Aku senyum manis. Kaki disusun melangkah mengikut lorong-lorong menuju ke tempat letaknya kubur arwah mak, ayah dan abang. Berselisih dengan pemuda yang dipanggil Eiyad tadi, sempat aku hulur senyum.
            Hidup sekampung, buat apa nak sombong-sombong. Lelaki itu sekadar menjeling dan kemudian meneruskan kerjanya. Huh, orang bagi pahala percuma pun tak nak.

No comments:

Post a Comment