Thursday, December 8, 2016

Cinta Sepenuh Jiwa - 5



Entah mimpi apa, pagi-pagi lagi Mak Long mencemar duli menjejakkan kaki di laman rumah. Aku yang baru sahaja selesai sarapan, tak sempat-sempat nak membasuh pinggan di dalam sinki terus sahaja menonong ke pintu depan. Dah dia melaung nama aku bukan main kuat lagi. Gaya macam aku duduk dekat hujung kampung nun.
          Nampak sahaja muka Mak Long yang kemerah-merahan, aku jadi mati kutu. Sambil tu dia mengibas mukanya dengan kain selendang. Mak Long ni marathon ke pagi-pagi buta ni? Padahal kalau nak ikutkan rumah aku dengan rumah Mak Long taklah jauh sangat.
          “Haah, ada pun kamu. Buat apa kat dalam? Entah-entah ada jantan ye?” Sinisnya ayat yang terbit dari mulut Mak Long buat aku terdiam. Haila Mak Long, tak bolehkah nak prasangka yang baik-baik sikit ya? Nasiblah Chom.
          Tangan Mak Long aku salami. Itupun hujung jari saja. “Jom masuk Mak Long. Chom kat dapur tadi.”
          Mak Long menjeling. Kemudian dia geleng kepala. “Ye ker?”
          Aku hela nafas dalam. Sabar Chom. Mak Long tu dah memang mulutnya jenis insuran tamat tempoh, dia tak sempat nak renew. Jadi kenalah banyak-banyak sabar. Hatiku memujuk dengan sendiri.
          “Mak Long sihat?” Aku maniskan wajah. Kalau nak ikutkan hati, ada yang kena cili mulut. Tapi, itu mak saudara aku juga. Nak tak nak aku tetap kena hormatkan juga.
          “Kamu tu bukannya boleh percaya sangat.”
          “Mak long dah sarapan?” Itu sahaja caranya supaya lidah Mak Long aku bersimpul. Aku pun bukannya percaya sangat dekat hati aku sendiri. Manalah tahu, kalau dah lancang sangat mulut tu, tembok kesabaran aku boleh runtuh.
          “Hmm…” Okey, itu petanda positif.
          “Aku ada hal nak bagi tahu kamu.” Mak Long tenggekkan punggung atas tangga bermarmar cantik. Aku pula masih lagi berdiri. Ada rasa kurang enak mula menusuk ke hati. Hal apa pulak ni.
          “Duduklah.” Nada suara Mak Long lembut pula. Pelikkan, sekejap kasar sekejap lembut. Itulah dia Mak Long aku. Mengenali Mak Long sekian lama membuatkan aku rasa mesti ada udang di sebalik mee.
          Aku labuhkan duduk bersebelahan Mak Long. Tunjukkan muka tenang sahaja walhal jantung sudah memulakan pecutan. “Kamu kenal tak Haji Leman?” Soalan Mak Long beserta sekuntum senyuman.
          Aku memikir. Dalam kampung ini hanya ada seorang sahaja yang namanya Lebai Leman. Tapi dia bukannya Tok Lebai yang bertugas dekat surau tu. Panggilan yang dia minta orang kampung panggil dia. Katanya sebab dia pernah pergi kursus untuk jadi seorang Lebai. Kalau tak salah aku, Lebai Leman ni kawan ayah juga. Tapi, tidaklah serapat dengan Pak Mail.
          Yang paling aku ingat adalah, lelaki ini telah beristeri dua.
          “Kenapa Mak Long?”
          Mak Long kemaskan duduk. Senyum penuh makna. “Dia minta tanyakan kamu. Nak tak kamu jadi isteri nombor tiga dia?”
          Tergamam aku jadinya. Isteri nombor tiga?
          “Alah, kamu terima sajalah. Senang cerita. Mudah kerja aku. Lagipun Lebai Leman tu orang senang. Hidup kamu tak susah.” Aku telan liur lagi. Bergelen-gelen sampaikan rasa nak termuntah sendiri.
          “Kamu tu banduan, siapa nak ke kamu. Jadilah anak dara tua. Heyyy… tak nak aku mengaku anak saudara nanti. Buat malu saja.” Setiap kata-kata yang muncul dari mulut Mak Long membuatkan skala kesabaran aku kian menipis. Bukan main lagi dia membahasakan aku.
          “Kira pakai jadilah yer.” Mak Long pujuk aku lagi. Senyuman palsu masih lagi menghiasi wajahnya. Aku laju menggelengkan kepala. Berubah terus muka Mak Long. Marah!
          Dahi aku kena tunjal. Mujur sahaja tangan sempat menampan tubuh, kalau tidak memang tertiarap dah aku. “Eh, apa ni Mak Long.” Ternaik sedikit suara aku.
          “Kamu tu degil. Orang nak bagi hidup senang pun tolak.” Melengking naik suara Mak Long. Eh, aku tak takutlah. Aku ambil nafas dulu. Nak bergaduh ni memerlukan oksigen yang cukup.
          “Chom tak nak. Jadi bini nombor tiga? Mak Long ingat Chom ni apa?”
          Terjegil mata Mak Long. “Kamu…”
          “Chom tak nak. Mak Long tak ada hak nak memaksa Chom.”
          Makin tersembul mata Mak Long. Sengaja nak menakutkan aku.
          “Hidup Chom, biar Chom tentukan. Susah-susah sangat Mak Long sendiri kawinlah dengan Lebai Leman tu.”
          Terus bangun Mak Long. “Kamu jangan menyesal. Dasar budak tahu untung!” Aku pun sama, bangun juga. Menayangkan muka selamba.
          “Chom lagi menyesal kalau terima tawaran tu!”
Aku memerhatikan sahaja lenggok Mak Long meninggalkan laman dengan rasa marah. Mulutnya terkumat kamit menyumpah aku agaknya. Biarlah. Dulu masa arwah mak dan ayah ada, mak long kerap juga menyinggah. Macam biasa, ada sahaja yang dia tak puas hati dengan mak dan ayah.
          Masa tu aku tahan aje rasa. Mak selalu bagi hint suruh aku bersabar dengan karenah mak long, kakak tiri mak yang sorang tu. Sebab ingatkan mak je, kalau tidak mak long tu dah lama aku cilikan mulutnya. Jelah, mak long dengan mak asalnya keluarga orang berada. Tapi, mak memilih untuk menikahi arwah ayah yang hanyalah seorang petani kampung.
          Berbanding Mak Long yang mana setahu aku sudah tiga kali menjanda. Nasib Mak Long, dari tiga kali perkahwinan itu dia tidak dikurniakan zuriat waima seorang. Semua suaminya orang kaya. Kemudian, kawin tak sampai lima tahun dia akan minta cerai. Suami terakhirnya, Pak Long Ali adalah suami yang paling lama bertahan dalam perkahwinan dengan Mak Long. Pak Long Ali tu orang alim. Mak Long buat apapun, dia senyum sahaja. Bila dia buka mulut untuk menasihati Mak Long, lembut sahaja aku dengar. Masa ini perangai mak Long berubah sikit. Sehinggalah Pak Long meninggal beberapa bulan sebelum aku masuk ke penjara. Dengar cerita, Mak Long kembali kepada perangai lamanya.
          Itulah dia Mak Long.
          Aku mahu berpaling untuk masuk ke dalam rumah namun sebuah kereta kelihatan memasuki laman. Berdiri tegak aku sambil memerhati siapa empunya kereta itu. Jujur, tak ada saudara mara sebelah arwah ayah dan mak yang akan datang menjenguk aku. Semuanya sudah membuang aku dari nasab keturunan mereka. Padahal aku masih lagi mempunyai ibu bapa saudara sebelah ayah. Biarlah, hidup ini jangan terlalu mengharap pada belas ihsan manusia.
          Pergantungan hanya pada Allah SWT.
          Mataku mengecil untuk memastikan siapakah yang telah pun memberhentikan kereta Honda City berwarna perak itu. Berkaca mata hitam dan ada seorang kanak-kanak. Wanita berjubah merah jambu dan tudung labuh hitam itu keluar dari kereta. Bibirku menarik senyum lebar, membalas senyum dari empunya kereta itu.
          “Acu!” suara jeritan memanggil dari dalam kereta itu buat aku menggelengkan kepala seraya menarik sengeh.
          Tergesa-gesa aku menyarung selipar dan mendapatkan wanita itu. “Kak Atun!” pelukan aku semakin erat.
          “Kereta baru eh?”
          Kak Atun jungkit kening. Kemudian dia ketawa suka. “Rezeki janda meletup gitu.”
          “Acu, nak peluk.”
          Aku tunduk memandang si comel yang tidak pernah berenggang dengan anak patung beruang yang sudah mencemik merajuk. “Alalala… sini sayang.” Aku rendahkan badan dan menyambut huluran tangan kecilnya. Memeluk lalu mengangkatnya yang sudah menyembamkan muka ke dada aku.
          Kak Atun capai tangan aku. Menggengam erat. Matanya merenung aku dengan mata yang basah. Seperti selalu, setiap pertemuan dengan kakak iparku ini tak pernah tak ada air mata sebagai hidangan sampingan dalam cerita.
          Aku merenung Annur Hidayah, tinggalan arwah abang.
          Acu sayang Annur!
Annur Hidayah sudah terlena atas ribaan aku. Mengantuk sangat dah tu. Yelah, main kejar-kejar lah, main pondok-pondoklah dengan aku. Seronok sangat si kecil ni. Kak Atun selalu membawa Annur melawat aku semasa aku dalam tahanan. Sebab itu dia sangat mengenali aku.
          “Maaf ya Chom, akak tak dapat nak ambil Chom masa Chom keluar dari penjara.” Tutur Kak Atun dengan muka muram. Aku tahu mesti dia rasa bersalah. Dia yang beria-ria nak menjadi orang pertama menjemput aku bila aku keluar penjara. Tapi aku tahu dia bukannya sengaja tak nak datang.
          “Tak apa. Chom faham. Mak akak macamana?” Sehari sebelum aku dilepaskan, ada warden penjara menyampaikan pesan dari Kak Atun yang terpaksa menjaga mak dia di hospital.
          Kak Atun tarik senyum manis. Memandang Annur sekilas lalu mengusap rambut lurus si comel itu. “Alhamdulillah, mak dah okey. Keluar hospital semalam. Mak jumpa Chom.”
          Masa aku dalam penjara, Mak Hajah Halimah rajin juga melawat aku. Malah dia menganggap aku seperti anaknya sendiri. Berulang kali air mata Mak Hajah tumpah bila berjumpa dengan aku. Katanya, budi aku terhadap anak dan cucunya dibawa sampai ke mati. Hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya.
          “Nanti ada masa Chom pergi jumpa Mak Hajah. Rindu kat Mak Hajah.” Terkenang seraut wajah yang manis biarpun sudah dimamah usia. Kak Atun mewarisi wajah Mak Hajah. Malah, baik dan lembut sahaja orangnya.
          “Mak tu beria mengemas itu ini. Mak cakap nak ajak Chom duduk sekali dengan mak. Sekali tergelincir dalam bilik air.” Cerita Kak Atun lagi.
          Aku terdiam. Nak ajak aku duduk sekali? Nampak tak betapa baiknya Mak Hajah. Memang Mak Hajah pernah berkias nak ajak aku duduk sekali dengan dia setelah aku keluar dari penjara, namun aku telah menolaknya dengan lembut. Lagipun aku masih ada rumah dan tanah pusaka yang perlu aku jaga.
          “Chom nak duduk sini je kak. Nak jaga rumah pusaka arwah mak dan ayah.” Jelasku. Kak Atun angguk tanda faham.
          “Kak Atun dan Mak tak nak memaksa. Tapi, kalau Chom berubah fikiran, pintu rumah kami sentiasa terbuka untuk Chom ya.” Aku hela nafas lega. Alhamdulillah, masih ada lagi orang yang sayang dengan aku biarpun yang membenci itu sentiasa ada.
          “Chom… “
          “Ye kak.”
          Kak Atun tarik nafas, “Mak long buat apa tadi?”
          Aku betulkan kepala Annur yang sedikit mengelonsor jatuh bila Annur mengeliat tadi. “Mak long nak suruh Chom menikah dengan Lebai Leman. Jadi isteri nombor tiga.”
          Apa lagi, terbeliak mata Kak Atun. Berubah terus warna mukanya. “Gila!”
          “Itulah. Tapi Chom tak nak.”
          “Tak sudah-sudah nak dengkikan keluarga kita.” Kak Atun meluah rasa marah. Dia pun pernah kena sindir dengan Mak long dulu. Tentu sahaja dia pun masih menyimpan rasa tidak puas hati dengan Mak Long tu. Alah, aku rasa orang dalam kampung ni pun semuanya tak sukakan mak long. Kepoh sangat. Tukang viral cerita. Ala-ala mami jarum.
          “Tak berkenan betul akak dengan mak long. Suruh je dia yang kawin dengan Lebai Leman tu. Jadi bini nombor tiga dia. Baru dia tau langit tu tinggi ke rendah.”
          Kali ini aku ketawa mendengar kata-kata Kak Atun. Kepala sudah membayangkan Mak Long bersanding atas pelamin dengan Lebai Leman. Sepadan! Dua-dua gila harta. Kemudian tu tengah elok-elok bersanding, ada pula isteri-isteri Lebai Leman buat serangan mengejut macam filem P. Ramlee tu.
          Fuh, gempak!

No comments:

Post a Comment